HAJI satu ibadat penting dalam Islam. Ulama secara ijmak mengatakan ia adalah fardu ke atas setiap orang Islam yang berupaya mengerjakannya dan satu daripada rukun Islam yang lima.
Ayat 97 Surah Ali Imran antara lain bermaksud: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk."
Kewajipan melaksanakan haji itu hanya sekali seumur hidup sebagaimana dijelaskan Rasulullah s.a.w melalui sabdanya yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a bermaksud: "Rasulullah s.a.w pernah berkhutbah kepada kami. Sabdanya: Wahai manusia, sesungguhnya Allah sudah mewajibkan haji ke atas kamu, oleh itu kerjakanlah haji itu."
Seorang lelaki bertanya: Adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah? Rasulullah s.aw diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah Rasulullah s.a.w menjawab: Jika aku jawab ya, nescaya wajiblah ia (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya."
Seterusnya Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) mengenai apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya sudah binasa orang sebelum kamu dengan sebab banyaknya pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi mereka. Maka aku menyuruh kamu dari (mengerjakan) sesuatu, kamu tinggalkan ia." (Hadis riwayat Muslim)
Dalam melaksanakan kefarduan haji dan umrah, ada beberapa syarat yang mewajibkannya, antaranya berkuasa.
Berkuasa melaksanakan haji dan umrah boleh dilihat pada dua aspek, iaitu berkuasa melaksanakannya dengan sendiri dan berkuasa menunaikan dengan pertolongan orang lain.
Setiap aspek itu ada syarat tertentu, contohnya berkuasa melaksanakan haji oleh dirinya sendiri antara syaratnya, ada perbelanjaan yang cukup untuk dirinya dalam perjalanan pergi dan balik serta sepanjang melaksanakan haji serta untuk sara hidup orang yang wajib ditanggungnya serta perbelanjaannya itu melebihi hutangnya.
Di samping itu, ada kenderaan untuk menyampaikannya ke Makkah seperti kapal terbang, kapal laut, bas dan seumpamanya sama ada milik sendiri atau mampu menyewanya.
Syarat bekalan dan kenderaan itu ada disebut dalam hadis diriwayat Ibnu Umar dengan katanya: "Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w, dia berkata: Wahai Rasulullah apakah yang mewajibkan haji itu? Maka sabda baginda: Bekalan dan kenderaan."
Bagaimanapun, kewajipan menunaikan haji tidak akan gugur bagi orang yang terlalu tua, orang menghidap penyakit yang tidak ada harapan sembuh dan penyakit teruk, seperti dinyatakan Datuk Md Daud Che Ngah dalam buku Kursus Kesempurnaan Ibadat Haji & Umrah.
Bagaimanapun, dalam kes berkaitan hutang, apa pula justifikasinya? Apakah orang yang berhutang wajib atau tidak mengerjakan haji?
Presiden Majlis Fekah Amerika Utara, Dr Muzammil Siddiqi, berkata haji tidak menjadi kefarduan terhadap seseorang yang berhutang.
"Bagaimanapun, jika seseorang itu mempunyai pinjaman jangka panjang dan beliau dikehendaki membayar hanya jumlah tertentu setiap bulan, hutangnya itu tertakluk melalui bayaran setiap bulan.
"Sekiranya beliau membayar semua hutangnya dan kemudian tiada baki padanya untuk melaksanakan haji, ibadat haji tidak diwajibkan ke atasnya.
"Tetapi jika beliau hanya membayar secara ansuran bulanan dan kemudian mempunyai wang secukupnya untuk melaksanakan haji, dia sepatutnya mengerjakan haji kerana ia menjadi kewajipan ke atasnya.
"Jika seseorang itu berhutang dan pemberi hutang membenarkannya untuk pergi haji, dia boleh melaksanakan haji," katanya.
Bertitik-tolak dari situ juga timbul kekeliruan mengenai pelaksanaan ibadat haji dengan kaedah pinjaman (hutang), yang dibayar kemudian seperti dengan cara ansuran, ditambah dengan keadaan mutakhir ini, ketika orang ramai mudah mendapatkan pembiayaan atau pinjaman.
Ini kerana ada pihak mengatakan cara itu dibolehkan manakala setengah yang lain pula berdasarkan hujah masing-masing mendakwa kaedah seperti itu tidak dibenarkan.
Dr Muzammil berkata, jika seseorang mengambil pinjaman (tanpa faedah) untuk melaksanakan haji dan dia melaksanakan haji, ibadat hajinya itu sah, walaupun tidak dikehendaki berbuat demikian dan haji tidak menjadi kewajipan ke atasnya.
Ulama kontemporari lain menyatakan, adalah dibenarkan untuk melaksanakan haji dengan cara pinjaman yang dibayar ansuran jika seseorang itu tidak mampu mengadakan belanja sekali gus.
Mufti Mesir, Dr Ali Jum'ah, berkata: "Adalah sah bagi seseorang untuk melaksanakan ibadat haji atau umrah dengan cara ansuran; ia tidak melanggar mana-mana upacara atau syarat berkaitan haji atau umrah.
Rektor Universiti Al-Azhar, Dr Ahmad At-Tayyeb berkata: "Secara umum, tidak sah menegah untuk membayar bagi sesuatu secara ansuran, selagi ia tidak membabitkan bayaran faedah.
"Dengan itu, tiada kesalahan jika institusi kewangan membayar perbelanjaan haji bagi pihak ahlinya sebagai pinjaman tanpa faedah dalam keadaan itu dan ahlinya akan membuat bayaran balik secara ansuran."
Seorang ulama, Dr Abdel-Fattah Idrees, yang juga Profesor Undang-undang Perbandingan di Universiti Al-Azhar menyatakan:
"Melaksanakan haji dengan bayaran ansuran, atau dalam perkataan lain melalui institusi kewangan (yang memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab agama) adalah dibenarkan kerana tiada nas yang melarang daripada melaksanakan ibadat haji seperti itu.
Tambahan lagi, jemaah haji dalam kes terbabit akan membayar balik wang yang dipinjam (dihutang). Pandangan ini mengikut aliran perundangan, seperti Syafie dan Zhahiri, yang mengatakan mana-mana cara yang menurut hukum membenarkan seseorang untuk melaksanakan haji adalah dipertimbangkan dalam perkara terbabit walaupun jika ia melalui pinjaman wang.
Dengan itu, melaksanakan ibadat haji dengan cara ansuran adalah dibenarkan dan mendapat ganjaran sebagai ibadat haji apabila semuanya dijelaskan."
Berdasarkan huraian ulama terbabit, secara ringkas dan umum dapat difahami ibadat haji dengan cara pinjaman tanpa faedah dibenarkan dan sah.
Fatwa Jabatan Mufti Kerajaan Brunei juga ada menghuraikan perkara ini, cuma ia cenderung memperkatakan mengenai permasalahan hutang dan kedudukan seseorang individu yang tiada kemampuan kewangan untuk mengerjakan haji.
Antara lain ia menjelaskan: "Dalam Islam berhutang dibolehkan, tetapi tidak dibolehkan kerana mengambil risiko yang boleh menyusahkan di dunia dan akhirat.
Banyak hadis yang memperkatakan masalah hutang dan orang yang berhutang, antaranya, bermaksud: "Dan jauhilah diri kamu daripada hutang, kerana sesungguhnya awalnya adalah dukacita dan akhirnya pula adalah mengambil harta orang dengan tiada mengembalikannya." (Hadis riwayat Imam Malik)
Pada zaman Nabi s.a.w ada yang bertanya kepada baginda mengenai orang tidak berupaya mengerjakan haji. Adakah dia perlu berhutang kepada orang lain supaya dapat pergi haji, akan tetapi Nabi s.a.w tidak membenarkannya.
Perkara ini disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Auf, katanya: "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak (dapat) pergi haji: "Adakah dia boleh berhutang untuk pergi haji? Rasulullah s.a.w menjawab: Tidak. (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Agama Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji dan umrah, ulama membuat syarat tertentu yang kemas berdasarkan al-Quran, hadis dan ijmak.
Jika syarat itu tidak dapat dipenuhi seseorang, tidaklah wajib baginya mengerjakan haji, walaupun ia satu daripada rukun Islam.
Ini membuktikan Islam itu adalah rahmat dan tidak menyusahkan umatnya. Oleh yang demikian, bagi orang yang ingin mengerjakan fardu haji dan umrah yang wajib ke atasnya, tidaklah perlu dia sampai menyusahkan dirinya dengan berhutang.
Apatah lagi bagi orang yang pernah pergi mengerjakan haji dan umrah. Lebih-lebih lagi jika umrah yang dilakukan itu, hanya berbentuk sunat semata-mata, jadi berhutang bagi tujuan ini suatu perkara yang tidak dituntut agama kerana ia akan menjadi beban dan akan menyusahkannya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan