20 Januari 2014

Status mengenai Wang Pampasan Takaful dan Insurans dari Sudut Hibah dan Wasi

Pernahkan anda menyemak semasa anda meletakkan penama dalam borang penama takaful atau insurans sama ada ianya berada di dalam instrumen wasi atau hibah. Kedua-dua instrumen ini mempunyai kaedah pembahagian yang berbeza dan jika tidak berhati-hati, penama boleh menanggung dosa akibat tidak mengetahui cara sepatutnya wang pampasan takaful itu dibahagikan. 
Majoriti pengendali insurans dan takaful di Malaysia menggunakan kaedah penama sebagai pemegang amanah atau wasi terhadap wang pampasan insurans atau takaful yang diterima. Sebagai pemegang amanah, seseorang itu tidak berhak secara sepenuhnya terhadap wang tersebut dan wang tersebut akan diklasifikasikan sebagai harta pusaka yang akan  dibahagikan secara kaedah faraid.

Sebelum wang pampasan takaful atau insurans dibahagikan mengikut hukum faraid, hak-hak dan hutang piutang si mati perlu dijelaskan terlebih dahulu bagi memastikan segala tanggungan hutang si mati dengan manusia dan hutang si mati dengan Allah telah tertunai. Dan kemudian wang tersebut akan dibahagikan mengikut hukum faraid atau berdasarkan persetujuan para waris.

Walaubagaimanapun, ramai di kalangan kita pada hari ini menganggap sebagai penama di dalam pewarisan wang pampasan takaful, seseorang itu berhak sepenuhnya terhadap wang tersebut. Ini adalah sati kesalahan yang amat besar dan boleh membawa kepada dosa-dosa besar.

Sebagai seorang penama, seseorang itu hanyalah sebagai pemegang amanah yang akan mentadbir pembahagian harta tersebut menerusi kaedah faraid. Jika waris merasakan pemegang amanah tersebut tidak berkelayakkan, para waris boleh mencabar kedudukan pemegang amanah tersebut di mahkamah dan proses pembahagian wang pampasan takaful atau insurans akan menjadi bertambah rumit.

Senario biasa di dalam masyarakat kita ialah apabila si suami meletakkan nama isteri sebagai penama atau pemegang amanah wang pampasan takaful. Isteri yang tidak mengetahui tentang pengurusan harta pusaka atau kaedah faraid pasti menganggap wang pampasan takaful tersebut adalah miliknya sepenuhnya dan menggunakan bagi tujuan diri sendiri.

Ini adalah amat berbahaya kerana si isteri tadi tidak menyedari bahawa sebagai pemegang amanah, dia hanya berhak terhadap bahagian yang menjadi hak terhadapnya dan terdapat bahagian-bahagian waris lain yang berhak terhadap wang pampasan tadi. Sebagai isteri yang mempunyai anak, dia hanya berhak mendapat 1/8 dari jumlah wang pampasan dan anak-anaknya akan mendapat bahagian masing-masing mengikut pembahagian faraid. Jika si isteri tadi membolot ke semua wang tadi, maka si isteri tadi telah dikira memakan hak-hak anak yatim walaupun anak-anaknya sendiri dan hukumnya adalah haram dan berdosa besar. Ini tidak dikira lagi jika ibu-bapa si suami masih lagi hidup kerana mereka juga berhak terhadap sebahagian wang pampasan takaful tersebut.

Jika anda menggunakan instrumen wasi atau pemegang amanah, pastikan anda berhati-hati dan maklumkan kepada penama agar membahagikan wang pampasan tersebut menerusi kaedah faraid. Jadi, takaful bukanlah penyelesaian kepada masalah kewangan waris jika wang pampasan takaful tidak ditadbir dengan sempurna.

Hibah adalah alternatif kepada wasi dalam pembahagian wang pampasan takaful. Sehingga artikel ini ditulis, hanya MAA Takaful dan Takaful Ikhlas menyediakan instrumen hibah dalam pembahagian wang pampasan takaful. Pengendali-pengedali takaful lain masih menggunakan instrumen wasi dalam pembahagian wang takaful.

Hibah merupakan satu bentuk pemberian atau hadiah daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Hibah di dalam konsep takaful dikenali sebagai hibah bersyarat di mana hibah akan dilaksanakan apabila peserta takaful telah meninggal dunia. Hibah tidak tertakluk kepada pembahagian secara faraid dan penerima hibah akan mendapat manfaat sepenuhnya wang pampasan yang dihibahkan kepadanya.

Jika seorang suami menghibahkan 100% wang pampasan takaful kepada isterinya, maka si isteri tersebut berhak menerima kesemuanya dan pihak-pihaklain tidak boleh mencabar pemberian ini sama ada di mahkamah. Berbeza dengan instrumen wasi, si isteri hanya berhak mendapat 1/8 dan perlu dibahagikan mengikut kaedah faraid.

Jika anda sayangkan isteri anda, mungkin anda boleh pertimbangkan syarikat takaful yang mempunyai instrumen hibah dalam pembahagian wang pampasan takaful atau jika tidak isteri anda akan berhadapan pelbagai masalah dalam mentadbir urusan pembahagian menerusi faraid yang kadang kalanya mengambil masa yang cukup lama untuk diselesaikan.

Sharing & Terima kasih Tuan Azizi Zulkifli
www.teralogies.com

Ketahui lebih lanjut dengan hibah takaful dengan hubungi:

E-mail aaron.rizan@gmail.com
Mohd Ridzuan Ismail
pm/whatsapp 019-4666581

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

[Reply to Comment]