18 November 2012

Panduan Bebas Kekangan Kewangan

Perancangan kewangan merupakan perkara yang penting dalam kehidupan. Ini bagi memastikan kita mempunyai aliran tunai yang baik bagi membina kehidupan yang mewah dan bahagia atau lebih mudah diingati menjadi Kaya dan Berjaya. Untuk menjadi Kaya dan Berjaya bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia hanya memerlukan sedikit perancangan dan fokus terhadap apa yang kita impikan. 
Ditambah dengan resipi Pemikiran, Perasaan, Percakapan dan Perbuatan yang merupakan doa yang diadun sekali lalu menjadi kunci kepada kekayaan dan kejayaan.
BAYAR PADA DIRI SENDIRI
 
Mungkin ramai di antara kita yang lupa perkara ini. Sebenarnya, inilah rahsia pertama orang – orang yang Kaya dan Berjaya. Mereka tidak pernah lupa untuk bayar pada diri mereka sendiri, baik mereka bermula sebagai makan gaji, mahupun mereka mempunyai perniagaan sendiri. Dengan peruntukan ini, mereka boleh berbelanja barangan – barangan dan perkhidmatan – perkhidmatan idaman mereka. Tidak kiralah barangan dan perkhidmatan itu “murah” atau “mahal” pada harganya. Jadi tidak hairanlah jika kita dapat lihat orang – orang yang Kaya dan Berjaya ini memakai barangan yang mahal – mahal. Dari pakaian dan aksesori hinggalah kepada kereta dan rumah. Semuanya mahal – mahal dan mewah belaka. Belum lagi dengan perkhidmatan – perkhidmatan yang mereka langgani seperti SPA, penginapan di hotel – hotel bertaraf 5 bintang, dan pelbagai lagi. Semuanya boleh mereka nikmati. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Ya, jawapannya, mereka tidak pernah lupa untuk membayar pada diri sendiri.
Signifikannya, peruntukan ini adalah bermaksud penghargaan pada diri. Andai anda seorang muslim, ia juga boleh diklasifikasikan sebagai salah satu cara kita bersyukur. Berapa ramai antara kita yang meminta daripada Pencipta (Allah) agar diberikan kemewahan dan kebahagian? Berapa ramai antara kita meminta supaya taraf hidup kita dapat dibaiki? Nah, apabila Allah turunkan rezeki-Nya (dalam kes ini dalam bentuk wang), berapa ramai antara kita yang memperuntukan sebahagian daripada wang itu untuk diri sendiri? 
Yang bermaksud supaya, dengan peruntukan itu bolehlah tunaikan permintaan kita
tadi (kemewahan/kebahagian/baiki taraf hidup).

Adakah menjadi salah Allah apabila kita tidak dapat mengubah taraf hidup kita untuk lebih Kaya dan Berjaya? Atau ia adalah menjadi salah kita, apabila sudah diberi tidak dimanfaatkan dengan baik? Di mana peranan kita dalam menggunakan rezeki itu untuk manfaat diri sendiri seperti mana yang diminta di dalam doa – doa kita lalu menjadi Kaya dan Berjaya?

Membayar pada diri sendiri dalam bentuk hadiah juga merupakan salah satu cara menghargai diri sendiri
Maka dengan itu jangan lupa pada diri sendiri. Penat lelah kita membanting tulang untuk mendapatkan habuan pada setiap hujung bulan atau habuan dari aktiviti perniagaan kita, perlu dibalas dengan berbelanja untuk diri sendiri. Bukanlah bermaksud semua bahagian dari habuan itu dibelanjakan untuk diri sendiri (ini penting diri namanya – sifat yang di-Murkai), tetapi hanya sebahagian daripadanya sahaja agar penat lelah kita bekerja ada hasilnya. 
Seandainya kita ada peruntukan untuk diri sendiri, sudah tentu kita boleh berbelanja barangan dan perkhidmatan yang mahal dan mewah. Dari gaya penampilan kita, sudah tentu juga orang lain akan berkata.. “Kayalah kau..”, “Ala.. Kau kaya..” Nah, tidakkah kata – kata itu merupakan doa? Dikesempatan ini perlulah kita mengucapkan syukur dengan doa tersebut dan akhirnya impian untuk Kaya dan Berjaya itu menjadi nyata. Tidakkah cantik sistem yang dibuat oleh Allah untuk manusia? Berbelanja untuk diri sendiri sebagai tanda syukur dapat menikmati kekayaan dan kemewahan. Kemudian mendapat pujian (doa) orang lain yang kita kaya. 
Maka kita bersyukur untuk kali kedua dan dari doa orang lain itu maka bertambahlah lagi kekayaan dan kejayaan kita. Mudah bukan? Inilah rahsia pertama orang – orang Kaya dan Berjaya. Maka dengan itu, janganlah kita berlengah lagi dalam melakukan perkara pertama ini dalam menuju ke arah bebas kewangan dan menjadi Kaya dan Berjaya.

DANA BEBAS KEWANGAN

Perkara ini merupakan kunci kedua dalam menuju ke arah bebas kewangan. Tanpa peruntukan untuk dana ini, maka sampai bila – bila kita terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Bak kata bidalan dahulu kala, “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”. Sungguhpun kita mempunyai kerja tetap atau mempunyai perniagaan sendiri, tetapi tanpa perancangan yang bijak, kita pasti terjerat seperti dalam bidalan itu. Mana tidaknya, andai kita tidak pergi kerja atau tidak melakukan aktiviti perniagaan, maka dengan itu juga kita tidak akan mendapat habuan. Oleh kerana itu, kita terpaksa bekerja demi mendapat habuan tersebut.
Bebas kewangan bukan semata – mata bebas dari beban hutang, tetapi juga bebas dari bekerja

Objektif utama orang Kaya dan Berjaya adalah mencapai tahap bebas kewangan. Di samping itu juga, mereka boleh memilih sama ada untuk bekerja atau tidak bekerja. Mereka bekerja bukan kerana mereka TERPAKSA, tetapi adalah kerana mereka MEMILIH untuk bekerja. 
Antara lain maksudnya adalah, golongan ini boleh memilih untuk tidak bekerja dan dalam masa yang sama, mereka tidak pula terikat dengan bidalan tadi. Di sinilah kita lihat, bagaimana golongan – golongan Kaya dan Berjaya ini mencapai tahap bebas kewangan. Dengan cara ini, mereka telah memaksa wang bekerja untuk mereka. Jadi dengan itu mereka tidak perlu lagi memaksa diri bekerja untuk wang.

Melalui dana ini, boleh kita simpulkan dalam bahasa mistik sebagai “ibu duit”. Ini bukanlah perkara tahyul seperti mana yang digembar – gemburkan oleh sesetengah pihak tertentu dalam “menarik” wang dan kekayaan. Tetapi, ini perkara nyata yang dipraktikkan oleh orang – orang Kaya dan Berjaya dalam memastikan mereka berada pada tahap bebas kewangan serta memastikan wang bekerja untuk mereka dan bukan lagi mereka bekerja untuk wang. Sudah tentu, untuk mencapai sesuatu perkara itu memerlukan suatu pengorbanan. 
Maka di sini, kita perlu berkorban dalam tempoh tertentu untuk mencapai tahap ini. Atau, mengorbankan sejumlah wang untuk tidak digunakan dalam tempoh setahun (paling minima) untuk mencapai tujuan yang sama.
Bagi kita yang baru bermula, tiada pilihan lain selain mengorbankan masa dan wang buat sementara waktu dalam tempoh tertentu untuk mencapai tahap ini. 
Dengan mencari instrumen simpanan dan pelaburan yang
mempunyai tahap pulangan dan risiko terkawal berbanding instrumen yang mempunyai tahap pulangan dan risiko yang tinggi ataupun yang rendah. Melalui instrumen ini, kita menyimpan dana – dana ini untuk dijadikan “ibu duit”. Maksudnya, modal yang disimpan tidak digunakan, sebaliknya kita menggunakan pulangan dari modal tersebut untuk membayar segala keperluan dan kehendak kita. Lagi besar modal kita, sudah tentu lebih besar pulangannya, dan lebih besar pula kuasa membeli kita. Dengan itu juga, lebih Kaya dan Berjaya lah kita.
Kita bekerja kerana kita PILIH untuk bekerja, bukan kerana TERPAKSA...
DANA SIMPANAN JANGKAMASA PANJANG UNTUK DIBELANJAKAN

Rahsia ketiga dalam mencapai tahap bebas kewangan adalah, kita membuat peruntukan untuk simpanan dalam jangkamasa panjang bagi tujuan – tujuan tertentu. Objektif dana ini adalah, untuk kegunaan pada masa akan datang (jangkamasa panjang).
Bak kata pepatah keramat,' Sikit – sikit, lama – lama jadi bukit".

Peruntukan ini adalah untuk dibelanjakan keseluruhannya apabila tiba masa yang telah ditetapkan. Contoh kegunaan dana ini adalah untuk belanja mengerjakan ibadah umrah dan haji, membuat pembayaran pendahuluan rumah kediaman atau membeli sebuah kereta mewah. 

Sekali lagi dinasihatkan agar kita memilih satu instrumen simpanan dan pelaburan yang memberikan pulangan yang baik dengan risiko yang terkawal. Bukan instrumen yang memberi pulangan yang tinggi dengan risiko yang tinggi atau instrumen yang memberi pulang yang rendah. Ini bagi memastikan kita memperolehi pulangan yang maksimum dan risiko yang munasabah serta dalam masa yang sama dapat menjimatkan masa. Ingat, kita bermula dari tiada. Faktor masa amat penting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

[Reply to Comment]