Dalam satu riwayat Nabi saw telah
mengaminkan doa Jibril “ Barangsiapa yang bertemu Ramadhan tetapi dia
tidak diampunkan dosanya, maka setelah dia mati dia akan masuk neraka
lalu jauhlah dia dari rahmat Allah” [HR Ibnu Hibban, At-Thobrani,
alBaihaqi dan Al-Hakim. kata Hakim: Baik isnadnya]
Nabi saw bersabda : “Sesiapa yang
berpuasa Ramadhan dalam Iman dan keikhlasan akan diampunlah segala
dosanya yang telah lalu, dan sesiapa yang menghidupkan Lailatulqadar
dalam keimanan dan keikhlasan akan diampunlah dosanya yang telah lalu”
[HR Bukhari, Muslim]
Justeru, carilah pengampunan di dalam
bulan yang sepatutnya Hamba Allah mendapat pengampunan dan maghfirah
dari Tuhan yang maha Pengampun itu.
Sangat luar biasa bebalnya nafsu andai
Ramadhan ini tidak bisa menebuskan diri kita dari Neraka, dan dosa-dosa
kita tidak terampun sedangkan janji Allah dan Rasulnya itu bahawa Tuhan
sangat pemurah dengan pengampunan, apatah lagi di saat-saat Ramadhan.
Muhammad saw bersabda “ Ramadhan
sehingga Ramadhan, Jumaat ke Jumaat, dan solat ke solat menjadi
pengkifarah dosa diantaranya selama mana menjauhi dosa-dosa besar” [HR
Muslim]
Aisyah bertanya kepada Rasul saw, apakah
yang seharusnya didoakan sekiranya bertemu lailatul qadar. Jawab
Baginda saw “Ya Allah, sesungguhnya engkau maha pemaaf, sukakan pula
kemaafan, maka maafkanlah aku” [ HR Tirmizi: sahih]
Nabi juga berdoa “ Aku berlindung dengan
redho-Mu daripada kemurkaan-Mu, dan dengan pengampunan-Mu daripada
pembalasan-Mu” [HR Muslim]
Firman Jalla wa A’la : “ Bersegeralah
kalian mencari maghfirah (pengampunan) dan Syurga yang bidangnya seluas
segala langit dan bumi, disediakan maghfirah dan syurga itu untuk
golongan muttaqin (orang-orang yang bertakwa)” [ surah Ali Imran :133]
Ayuh segeralah jadi manusia bertaqwa.
Wasiat penghulu kita Muhammad saw :
“bertakwalah kamu ketika apa sekali pun, dan tutupilah kejahatan dengan
kebajikan nescaya kebajikan itu akan menghapuskan kejahatan tersebut dan
berkakhlaklah dengan manusia akhlak yang baik” [HR Tirmizi : Hasan]
Ramadhan masih berbaki. Walaupun sesaat
ia tetap saat yang paling berkat. Doa dan pengharapan di dalamnya tidak
sama seperti selain Ramadhan. Maka manfaatkanlah setiap saat Ramadhan
sehinggalah peluang saat terakhir. Moga jangan terjadi dari golongan
yang rugi.
Syeikh Abdul Aziz bin Muhammad as-sarkhan berkata di dalam kitabnya Mukhalafat Ramadhan – Kesilapan dalam Ramadhan;
Manusia itu ada 5 jenis apabila bertemu Ramadhan:
1 – Orang yang soleh. Menunggu-nunggu
Ramadhan. Apabila bertemu dengannya mereka sambut dengan gembira dan
mengambil faedah daripadanya semaksima mungkin. Lalu di bawa ke luar
ramadhan. ~ ini adalah sebaik-baik golongan.
2 – Orang yang kedatangan ramadhan dan
pemergiannya sama sahaja (tidak teransang mahu menambah amal) ~ Golongan
yang rugi kerana berada dalam peluang tetapi tidak mengambil peluang.
3 – Orang yang Cuma kenal Allah pada
bulan Ramadhan sahaja. Apabila selesai ramadhan dia kembali kepada
tabiat jahatnya semula. ~ Imam Ahmad dan Fudhail mengatakan :
Seburuk-buruk manusia mereka hanya kenal Allah cuma ketika ramadhan
sahaja.
4 – Orang yang hanya puasa perut sahaja.
Lain anggotanya tidak turut taat kepada Allah. ~ Nabi sebut bahawa ini
golongan yang tidak dinilai sikit pun Oleh Allah puasanya dari makan
minum [Riwayat Bukhari dan Abu Daud]
5 – Orang yang di dalam bulan Ramadhan
pun tidak kenal dan taat kepada Allah, apatah lagi jika di luar
Ramadhan. ~ Ini adalah sejahat-jahat jenis manusia, paling bahaya dan
sangat terancam. Moga Allah lindungkan kita dari jenis ini.
Pesan Imam Al-Ghazali : “Hiduplah apa
kehidupan yang kamu mahu, sesungguhnya engkau mati juga. Cintailah
sesiapa pun yang kamu mahu, sesungguhnya engkau tetap berpisah dengannya
juga.
Buatlah apa kerja yang kamu mahu, sesungguhnya kamu tetap akan
dibalas juga.” [Ayyuhal walad : wahai anakku]
Moga Ramadhan Ini menjadikan kita manusia yang lebih berani menghadapi kematian.