Bank Negara Malaysia hari ini
mengumumkan pelaksanaan satu set langkah yang bertujuan untuk mengelak
hutang isi rumah yang berlebihan dan memperkukuh amalan pemberian
pinjaman yang bertanggungjawab oleh pemberi kredit utama. Langkah ini
yang berkuat kuasa serta-merta melengkapkan langkah terdahulu yang
dilaksanakan sejak tahun 2010 untuk menggalakkan sektor isi rumah yang
kukuh dan mampan.
Hutang isi rumah terus meningkat pada
kadar yang tinggi, iaitu pada kadar tahunan purata 12% sejak lima tahun
yang lalu. Meskipun disokong oleh pendapatan dan keadaan guna tenaga
yang positif, namun sejak akhir-akhir ini terdapat peningkatan trend
dalam penawaran produk kewangan yang tidak mengambil kira kepentingan
pengguna dalam jangka panjang.
Ini termasuk tempoh pembiayaan yang
dilanjutkan hingga 45 tahun bagi pembiayaan rumah dan 25 tahun bagi
pembiayaan peribadi. Walaupun tempoh pembiayaan yang lama ini
mengurangkan pembayaran balik bulanan, namun dalam jangka panjang,
pembiayaan ini meningkatkan beban hutang isi rumah secara keseluruhan.
Amalan seperti ini menggalakkan pengumpulan hutang yang berlebihan oleh
isi rumah dan meningkatkan kelemahan sektor ini.
Langkah-langkah ini dilaksanakan menurut
seksyen 31(1)(a) Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan terpakai pada semua
institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia, serta
koperasi kredit yang di bawah kawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia,
dan Malaysia Building Society Berhad dan AEON Credit Service (M)
Berhad. Ini bagi memastikan amalan pembiayaan adalah konsisten merentas
semua penyedia kredit yang utama.
Sebagai tambahan kepada langkah-langkah
di atas, penyedia kredit yang utama dikehendaki mematuhi nisbah khidmat
bayaran hutang yang berhemat dalam penilaian kredit bagi memastikan isi
rumah mempunyai penampan kewangan yang mencukupi untuk melindungi mereka
daripada kenaikan kos dan kejadian yang tidak dijangka.
Isi rumah yang mempunyai kemampuan
kewangan untuk mengambil pinjaman akan terus mendapat akses kepada
pembiayaan. Bagi menambah baik pengurusan hutang yang bertanggungjawab
oleh isi rumah, Bank Negara Malaysia akan mempergiat usahanya dalam
menyediakan pendidikan kewangan kepada semua segmen masyarakat, termasuk
mereka yang masih muda dan peminjam kali pertama daripada institusi
kewangan. Di samping itu, rangka kerja perlindungan pengguna akan terus
diperkukuh di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan
Kewangan Islam.
Sumber : Bank Negara Malaysia
05 Julai 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan